Harimau Muda kukuh cengkaman liga
HARIMAU Muda meneruskan dominasi pada aksi Liga Perdana selepas membenamkan pasukan tercorot, SDM Kepala Batas 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi - sekali gus terus mendahului carta liga.
Skuad muda negara itu kini mengumpul 43 mata - 11 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Johor yang tidak bermain, malam tadi.
Penyerang Harimau Muda, Ahmad Shakir Mohd Ali muncul wira pasukan dengan jaringan hatrik minit ke-49, 67 dan 82 dengan rakan sepasukan, Mohd Muslim Ahmed menjaringkan satu gol minit ke-46.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, pasukan T-Team dari Terengganu menewaskan Tentera 3-1 dengan tuan rumah membuka tirai jaringan minit ke-13 menerusi Haris Safuan Kamal.
Selepas rehat, Hairudin Omar menanduk masuk gol kedua minit ke-48 sebelum Norhisam mengesahkan kemenangan mutlak pasukan minit ke-50 manakala jaringan sagu hati lawan hadir menerusi jaringan Mohd Johari Ahmad hasil sepakan penalti.
Di Stadium Likas, Mohd Khairul Azhar menjadi duri dalam daging buat Sabah apabila jaringan tunggal pemain Proton FC menyaksikan tuan rumah tewas 0-1 manakala di Stadium Selayang, PKNS seri 0-0 ketika menentang Melaka dan Sarawak membelasah Shahzan Muda 4-2 di Stadium Negeri Sarawak.
No comments:
Post a Comment